Showing posts with label Kembara. Show all posts
Showing posts with label Kembara. Show all posts

Friday, September 26, 2008

Melihat Atomium, Ville de Bruxelles

Kami singgah di Brussel agak lewat. Harus terus mencari tempat bermalam. Sudah pasti tempat yang dituju adalah bed & breakfast. Selalunya ada di dalam kawasan kota. Bayarannya memang murah antara 1 pound hingga 2 pound semalam. Ada sarapan, tapi perlu berkongsi bilik. Seperti tinggal di asrama. Oleh kerani kami berlima, itu tidak menjadi masalah.

Sememangnya tinggal di bed & breakfast perlu ikut peraturan. Tidak boleh balik lewat. Makanan luar tidak dibenarkan. Tapi mereka tidak mengira bangsa atau agama untuk tinggal disini. Sempat ambil peluang berbicara dengan pengurus asrama. Bertukar pendapat mengenai keburukan merokok dan minum arak. Sikap terbuka begini mungkin elok dicontohi. Tidak melabel atau menyisihkan seseorang, hanya kerana kelihatan berbeza. Mungkin kerana kota ini ada dua bahasa utama. Melambangkan dua komposisi penduduk utama Belgium, penutur bahasa Peranchis dan Belanda.

Kerana hari masih cerah, kami melawat kota Brussel. Atomium, agak aneh bentuk rupanya. Agak sukar untuk kesana kerana berada di penghujung perjalanan Metro bandar. Tapi sampai juga akhirnya. Sempat juga melihat Manneken Pis, dengan lagendanya.

Keesokan harinya kami merancang untuk ke Amsterdam. Dengar ceritanya ramai penduduk keturunan Indonesia disana. Boleh juga merasa makanan nasi yang sudah dua hari tidak dijamah. Beginilah kami, kembara dengan duit yang sedikit. Menjaga belanja supaya cukup hingga kepenghujungnya.

Tuesday, September 23, 2008

From Leeds with Backpack

Perjalanan ke Eropah memang sudah di rancang. Musim panas itu, kami tidak pulang ke Malaysia. Duit telah disimpan, pengiraan dibuat dan perjalanan dirancang. Kami, bakal akauntan dan jurutera, sudah pasti boleh mengira dengan baik. Sebaik cuti bermula, kami melangkah ke Leeds station dengan bakpak yang berat.

Bakpak diisi baju dan seluar kecil untuk seminggu. Paspot dan tiket sudah disimpan. Tidak perlu bawa makanan. Kad kredit belum ada lagi, jadi perlu beli Cek Kembara, untuk keselamatan. Tujuan pertama adalah Dover, untuk naik feri ke Zeebrugge, Belgium. Singgah di London, sebelum mengambil keretapi ke selatan dari Charing Cross Station.

Peluang seumur hidup ini memang sudah lama ditunggu. Ingin melihat bandaraya Eropah dan penduduknya yang berbagai budaya. Oleh kerana perjalanannya jauh dan banyak bandar ingin disinggahi, kami merancang untuk sampai ke bandar yang berlainan setiap hari. Oleh itu kami memilih untuk tidur didalam keretapi setiap malam kecuali hari minggu.

Perlu sampai ke Zeebrugge di Belgium sebelum waktu gelap. Perjalanan laut ke sana dari Dover agak jauh. Tidak banyak yang boleh dilihat semasa didalam feri. Angin pun agak kencang dan sejuk. Jadi hanya duduk didalam feri dan ambil peluang tidur sekejap. Sebaik mencecah kaki di Zeebrugge sudah nampak kelainannya. Bahasanya berbeza dan suasana berlainan. Terus ambil keretapi ke Brussel untuk tidur semalam, sebelum meneruskan perjalanan di Eropah.

Friday, September 19, 2008

Bot ke Bygdøy

Bygdøy bukan sebuah pulau. Ada sebuah teluk memisahkan Bygdøy dengan Oslo. Menggunakan bas untuk ke sana, agak jauh. Kali pertama di Oslo, di musim panas, memang teruja untuk melihat sebanyak tempat yang boleh. Ini bandar terakhir yang kami lawati. Kami sudah sebulan kembara seluruh bandar utama di barat Eropah. Eropah timur masih lagi dalam cengkaman komunis.

Musim panas di Oslo memang mengejutkan. Keterbukaan penduduk disini pada cara hidup yang berbeza nampak nyata. Dapat dilihat lelaki atau perempuan yang berbaring membiarkan badan yang terdedah dipancar sinar musim panas. Anehnya, tidak saya lihat perlakuan serupa pada musim panas yang baru lalu, ketika saya berada disina untuk tugasan kerja. Mungkin sudah ada perubahan atau sudah ada budaya baru yang wujud di Oslo.

Menaiki bot ke Bygdøy, perjalanannya agak cepat. Dimarahi penjaga bot semasa cuba menerpa ke bot yang baru sampai. Kurang faham apa yang diperkatakan, kami bertanya dengan baik. Bila diberitahu kami pelancong, barulah kendur sedikit suaranya. Mereka memang boleh bertutur bahasa Inggeris dengan fasih. Kami dimarahi kerana tidak memberi tiket sebelum menaiki bot.

Tidak banyak dibuat di Bygdøy waktu itu. Walaupun musim panas, masih lagi terasa sejuk. Kembali dengan perasaan hampa. Tidak mengapa, sudah puas berjalan sejauh Venice. Harus pulang meneruskan usaha. Memang tidak disangka. Akan kembali kesina semula setelah sekian lama.

Tuesday, September 16, 2008

Kembara Verden, ABC di Oslo

Pandangan dari atas memang asyik. Putih seputihnya seluas mata memandang hingga ke kaki langit. Nampak bersih. Sesekali terlihat tompok-tompok hitam menandakan adanya kawasan perumahan ditengah. Ini bukan kali pertama saya kesini. Penerbangan dari Sepang singgah di Amsterdam akan mendarat di Oslo sekejap lagi.

Kesejukan diluar memang amat terasa. Saya datang seorang diri untuk kali ini. Sudah lama saya tidak ke sini. Namun ini bukanlah sesuatu yang janggal. Sudah menjadi kebiasan untuk berjalan sejauh ini. Memang sudah ditugaskan begitu.

Oslo di musim sejuk, sememangnya amat sejuk. Walaupun saya sudah cukup sedia dengan jaket sejuk, sarung tangan dan kain dada, masih menusuk hingga ketulang bila angin bertiup. Sajli turun seperti hujan di KL. Tebal melapik jalan menjadi sukar untuk bergerak sambil membawa beg yang berat. Terasa seperti memijak Air Batu Campur. Yang kurangnya mungkin tidak ada tumpahan gula.

Kali pertama saya kesini, pada musim panas beberapa belas tahun yang lalu. Bila keluar dari kawasan pemeriksaan imigrasi Oslo Lufthavn, Gardemoen terkenang kisah lalu. Suatu masa dimana tumpuan hanyalah pada buku dan kelas. Mungkin masa tidak boleh diputar kebelakang. Semuanya hanya tinggal kenangan.

Saturday, June 14, 2008

Menjejaki Enid

Satu biografi Enid Blyton, tetapi agak unik – kerana ini bukan sahaja biografi Blyton tetapi juga biografi penulis. McLaren, peminat seumurhidup Blyton, keluar bersiar bersama teman wanitanya, melawat tempat-tempat dimana Blyton tinggal, bekerja dan menulis bukunya – termasuk, sudah tentu, rumah Green Hedges dimana dia tinggal bersama suami keduanya dan menulis hampir kesemua 600 buku-buku popularnya, termasuk siri ’The Famous Five’, siri ’The Malory Towers’ dan buku ’The Noddy’. Setiap bahagian buku berakhir dengan parodi misteri Five Find-Outers, dengan Fatty digambarkan sebagai McLaren, dan sikecil Bets sebagai teman wanitanya, Kate.



Teori McLaren, bahawa PC Goon yang dicemuh dalam cerita Five Find-Outers adalah satu gambaran dendam terhadap suami pertama Blyton cukup meyakinkan, walaupun cubaan untuk membuktikannya melalui anagrams terlalu sukar dipercayai. Buku ini kadang-kadang keanak-anakan ceritanya: “it’s ramificating like billy-oh in my mind!” atau “Letters from Enid – I want to bloody well read a few!”. Tetapi McLaren sudah berjaya menyampaikan kesungguhannya. Sekiranya anda meminati buku-buku Enid Blyton atau perangai pelik orang Inggeris, anda pasti meminati buku ini.

Sebaliknya sudah tentu tidak.

Wednesday, May 21, 2008

Siasatan Pembunuhan Tak Berasas

Adakah Sherlock Holmes silap besar dalam kesnya yang mashyur? Adakah Hercule Poirot seorang pembunuh? Adakah pembunuh bersiri terkenal Hamlet juga membunuh bapanya? Adakah Oedipus, terkenal kerana membunuh bapanya, tidak membunuh bapanya?

Pengkritik literari Perancis dan psikoanalis, Pierre Bayard, cuba mengolah genre baru dalam dunia literari. Dia memanggil dirinya seorang detektif pengkritik. Dia menyiasat semula plot-plot dalam buku terkenal, sambil membetulkan semula kesalahan penulisnya dan ketidakadilan literari.



Semua penulis tidak boleh dipercayai, Bayard berkata. Penulis tidak semestinya memahami sepenuhnya cerita yang ditulis sendiri.

Bayard, 54, yang mendapat kejayaan di AS dengan buku yang bertajuk, How To Talk About Books You Haven’t Read, baru sahaja menerbitkan buku tersebut di UK dengan ulasan-ulasan menyanjung. Buku-bukunya yang kurang diketahui umum, dikalangan penutur bahasa Inggeris, adalah siri buku-buku menerangkan bagaimana penulis terkenal, dari Shakespeare hingga Agatha Christie, menulis cerita menggunakan fakta yang tidak benar.

Buku terbarunya, diterbitkan di Perancis, mengkaji semula fakta-fakta jenayah dalam buku The Hound of the Baskervilles oleh Sir Author Conan Doyle. Bayard membuktikan (berdasarkan kepercayaannya) yang anjing pemburu dan tuanya tidak bersalah dalam cerita itu.

Tahniah kepada detektif terkenal dunia yang kurang cekap, pembunuh sebenar masih diluar sana. Tanpa memberikan jawapan sebenar, kes di Dartmoor adalah sebenarnya jenayah balas dendam yang bijak.

Ketidakcekapan Holmes, yang dibuktikan dengan jelas dalam buku tersebut, juga kelakuan balasdendam yang tidak disedari, Bayard mencadang. Conan Doyle mula membenci penyiasat tersebut dan cuba membunuh karaktor itu. Tetapi Holmes tidak mahu mati. Penulis dan penyiasat bertarung sesama sendiri untuk terus hidup, sehingga mereka terlepas pembunuh sebenar.

L’Affaire Du Chien Des Baskervilles (Miniut) melengkapkan siri “English Trilogy” yang dimulakan oleh Bayard pada 1998. Buku pertamanya membuka semula kes awal Hercules Poirot, The Murder of Roger Ackroyd. Dia secara bernas membuktikan yang fakta kes telah dikumpulkan secara tidak berasas keatas doktor kampung yang baik, sipencerita dan sipembunuh dalam kisah itu. Christie dan Poirot telah membuat tuduhan palsu keatas orang yang tidak bersalah.

Bayard, pengamal psikoanalis, profesor literari, dan penulis, kemudian menumpukan perhatian pada Shakespeare. Tulisannya Enqulte sur Hamlet cuba membela Uncle Claudius dan mencadangkan, tetapi kurang meyakinkan, yang Hamlet sebenarnya pembunuh bapa sendiri.

”Pendapat asas saya ialah penulisan literari bukannya statik. Semuanya tidak stabil” Bayard beritahu saya. “Saya juga berpendapat, kewujudan cerita yang tidak lengkap, tanda keagungan penulis. Penulisan adalah sebahagiannya tulisan secara sedar, dan sebahagiannya lagi adalah keadaan dimana penulis hilang kawalan atas ciptaan sendiri”

Karya Bayard seterusnya mungkin cuba membetulkan ketidakadilan yang berlaku 2400 tahun lalu. Dia percaya, walauapapun penerangan Sophocles, Oedipus tidak membunuh bapanya. Dia mempunyai ide tersendiri siapa identiti sebenar pembunuh.

Teks asal di The Independent (UK)