Friday, September 19, 2008

Bot ke Bygdøy

Bygdøy bukan sebuah pulau. Ada sebuah teluk memisahkan Bygdøy dengan Oslo. Menggunakan bas untuk ke sana, agak jauh. Kali pertama di Oslo, di musim panas, memang teruja untuk melihat sebanyak tempat yang boleh. Ini bandar terakhir yang kami lawati. Kami sudah sebulan kembara seluruh bandar utama di barat Eropah. Eropah timur masih lagi dalam cengkaman komunis.

Musim panas di Oslo memang mengejutkan. Keterbukaan penduduk disini pada cara hidup yang berbeza nampak nyata. Dapat dilihat lelaki atau perempuan yang berbaring membiarkan badan yang terdedah dipancar sinar musim panas. Anehnya, tidak saya lihat perlakuan serupa pada musim panas yang baru lalu, ketika saya berada disina untuk tugasan kerja. Mungkin sudah ada perubahan atau sudah ada budaya baru yang wujud di Oslo.

Menaiki bot ke Bygdøy, perjalanannya agak cepat. Dimarahi penjaga bot semasa cuba menerpa ke bot yang baru sampai. Kurang faham apa yang diperkatakan, kami bertanya dengan baik. Bila diberitahu kami pelancong, barulah kendur sedikit suaranya. Mereka memang boleh bertutur bahasa Inggeris dengan fasih. Kami dimarahi kerana tidak memberi tiket sebelum menaiki bot.

Tidak banyak dibuat di Bygdøy waktu itu. Walaupun musim panas, masih lagi terasa sejuk. Kembali dengan perasaan hampa. Tidak mengapa, sudah puas berjalan sejauh Venice. Harus pulang meneruskan usaha. Memang tidak disangka. Akan kembali kesina semula setelah sekian lama.

No comments: