Friday, September 26, 2008

Melihat Atomium, Ville de Bruxelles

Kami singgah di Brussel agak lewat. Harus terus mencari tempat bermalam. Sudah pasti tempat yang dituju adalah bed & breakfast. Selalunya ada di dalam kawasan kota. Bayarannya memang murah antara 1 pound hingga 2 pound semalam. Ada sarapan, tapi perlu berkongsi bilik. Seperti tinggal di asrama. Oleh kerani kami berlima, itu tidak menjadi masalah.

Sememangnya tinggal di bed & breakfast perlu ikut peraturan. Tidak boleh balik lewat. Makanan luar tidak dibenarkan. Tapi mereka tidak mengira bangsa atau agama untuk tinggal disini. Sempat ambil peluang berbicara dengan pengurus asrama. Bertukar pendapat mengenai keburukan merokok dan minum arak. Sikap terbuka begini mungkin elok dicontohi. Tidak melabel atau menyisihkan seseorang, hanya kerana kelihatan berbeza. Mungkin kerana kota ini ada dua bahasa utama. Melambangkan dua komposisi penduduk utama Belgium, penutur bahasa Peranchis dan Belanda.

Kerana hari masih cerah, kami melawat kota Brussel. Atomium, agak aneh bentuk rupanya. Agak sukar untuk kesana kerana berada di penghujung perjalanan Metro bandar. Tapi sampai juga akhirnya. Sempat juga melihat Manneken Pis, dengan lagendanya.

Keesokan harinya kami merancang untuk ke Amsterdam. Dengar ceritanya ramai penduduk keturunan Indonesia disana. Boleh juga merasa makanan nasi yang sudah dua hari tidak dijamah. Beginilah kami, kembara dengan duit yang sedikit. Menjaga belanja supaya cukup hingga kepenghujungnya.

Tuesday, September 23, 2008

From Leeds with Backpack

Perjalanan ke Eropah memang sudah di rancang. Musim panas itu, kami tidak pulang ke Malaysia. Duit telah disimpan, pengiraan dibuat dan perjalanan dirancang. Kami, bakal akauntan dan jurutera, sudah pasti boleh mengira dengan baik. Sebaik cuti bermula, kami melangkah ke Leeds station dengan bakpak yang berat.

Bakpak diisi baju dan seluar kecil untuk seminggu. Paspot dan tiket sudah disimpan. Tidak perlu bawa makanan. Kad kredit belum ada lagi, jadi perlu beli Cek Kembara, untuk keselamatan. Tujuan pertama adalah Dover, untuk naik feri ke Zeebrugge, Belgium. Singgah di London, sebelum mengambil keretapi ke selatan dari Charing Cross Station.

Peluang seumur hidup ini memang sudah lama ditunggu. Ingin melihat bandaraya Eropah dan penduduknya yang berbagai budaya. Oleh kerana perjalanannya jauh dan banyak bandar ingin disinggahi, kami merancang untuk sampai ke bandar yang berlainan setiap hari. Oleh itu kami memilih untuk tidur didalam keretapi setiap malam kecuali hari minggu.

Perlu sampai ke Zeebrugge di Belgium sebelum waktu gelap. Perjalanan laut ke sana dari Dover agak jauh. Tidak banyak yang boleh dilihat semasa didalam feri. Angin pun agak kencang dan sejuk. Jadi hanya duduk didalam feri dan ambil peluang tidur sekejap. Sebaik mencecah kaki di Zeebrugge sudah nampak kelainannya. Bahasanya berbeza dan suasana berlainan. Terus ambil keretapi ke Brussel untuk tidur semalam, sebelum meneruskan perjalanan di Eropah.

Friday, September 19, 2008

Bot ke Bygdøy

Bygdøy bukan sebuah pulau. Ada sebuah teluk memisahkan Bygdøy dengan Oslo. Menggunakan bas untuk ke sana, agak jauh. Kali pertama di Oslo, di musim panas, memang teruja untuk melihat sebanyak tempat yang boleh. Ini bandar terakhir yang kami lawati. Kami sudah sebulan kembara seluruh bandar utama di barat Eropah. Eropah timur masih lagi dalam cengkaman komunis.

Musim panas di Oslo memang mengejutkan. Keterbukaan penduduk disini pada cara hidup yang berbeza nampak nyata. Dapat dilihat lelaki atau perempuan yang berbaring membiarkan badan yang terdedah dipancar sinar musim panas. Anehnya, tidak saya lihat perlakuan serupa pada musim panas yang baru lalu, ketika saya berada disina untuk tugasan kerja. Mungkin sudah ada perubahan atau sudah ada budaya baru yang wujud di Oslo.

Menaiki bot ke Bygdøy, perjalanannya agak cepat. Dimarahi penjaga bot semasa cuba menerpa ke bot yang baru sampai. Kurang faham apa yang diperkatakan, kami bertanya dengan baik. Bila diberitahu kami pelancong, barulah kendur sedikit suaranya. Mereka memang boleh bertutur bahasa Inggeris dengan fasih. Kami dimarahi kerana tidak memberi tiket sebelum menaiki bot.

Tidak banyak dibuat di Bygdøy waktu itu. Walaupun musim panas, masih lagi terasa sejuk. Kembali dengan perasaan hampa. Tidak mengapa, sudah puas berjalan sejauh Venice. Harus pulang meneruskan usaha. Memang tidak disangka. Akan kembali kesina semula setelah sekian lama.

Tuesday, September 16, 2008

Kembara Verden, ABC di Oslo

Pandangan dari atas memang asyik. Putih seputihnya seluas mata memandang hingga ke kaki langit. Nampak bersih. Sesekali terlihat tompok-tompok hitam menandakan adanya kawasan perumahan ditengah. Ini bukan kali pertama saya kesini. Penerbangan dari Sepang singgah di Amsterdam akan mendarat di Oslo sekejap lagi.

Kesejukan diluar memang amat terasa. Saya datang seorang diri untuk kali ini. Sudah lama saya tidak ke sini. Namun ini bukanlah sesuatu yang janggal. Sudah menjadi kebiasan untuk berjalan sejauh ini. Memang sudah ditugaskan begitu.

Oslo di musim sejuk, sememangnya amat sejuk. Walaupun saya sudah cukup sedia dengan jaket sejuk, sarung tangan dan kain dada, masih menusuk hingga ketulang bila angin bertiup. Sajli turun seperti hujan di KL. Tebal melapik jalan menjadi sukar untuk bergerak sambil membawa beg yang berat. Terasa seperti memijak Air Batu Campur. Yang kurangnya mungkin tidak ada tumpahan gula.

Kali pertama saya kesini, pada musim panas beberapa belas tahun yang lalu. Bila keluar dari kawasan pemeriksaan imigrasi Oslo Lufthavn, Gardemoen terkenang kisah lalu. Suatu masa dimana tumpuan hanyalah pada buku dan kelas. Mungkin masa tidak boleh diputar kebelakang. Semuanya hanya tinggal kenangan.

Saturday, August 9, 2008

1434, Pelayaran Dari Tiongkok

Buku yang ditulis oleh Gavin Menzies mengutarakan satu perspektif berbeza mengenai sejarah ketamadunan Eropah. Buku ini menyusul buku sebelumnya bertajuk 1421, juga mengenengahkan pendapat bahawa kerajaan China lama adalah kerajaan yang pertama dari dunia luar yang menjumpai benua Amerika.



Kali ini dia berkata, ketamadunan China lah yang telah membantu benua Eropah berkembang maju. Ini berlaku bila satu pelayaran dari benua China telah sampai di Eropah dan memperkenalkan keagungan teknologi kerajaan China dizaman itu, yang belum lagi terdapat di Eropah.

Saya agak menyukai buku yang memberikan pendapat berbeza dengan pendapat umum, berdasarkan fakta-fakta yang ada. Mungkin ada kebenarannya di sebalik pendapat tersebut, tetapi perkara paling penting saya fikir ialah kebolehan kita untuk tidak menerima sepenuhnya pendapat atau ide dari luar tanpa kita mengkaji dan membuat kritisan bernas.

Saya fikir jika kita ada pemikiran tersebut, kita akan jadi satu kelompok manusia yang tidak selalunya bergantung pada pemikiran luar dan terikut-ikut dengan ide luar yang tidak semestinya benar keseluruhannya.

Tajuk penuh buku ini adalah 1434, The Year a Magnificent Chinese Fleet Sailed to Italy and Ignited the Renaissance.

Sunday, August 3, 2008

A Brief History of Time, Sejarah Masa

Walaupun buku ini berbentuk sains, namun penerangan yang menarik memudahkan saya memahami konsep sains yang diketengahkan. Sekiranya anda berminat untuk memahami kisah "black hole" dan teori sains mengenai dunia dan masa, ini buku permulaan yang terbaik.



Buku ini sudah lama diterbitkan dan ditulis oleh seorang professior terkenal yang menjalankan kehidupan tidak seperti orang lain. Dengan pergerakan fizikal yang terhad, pemikiran Stephen Hawking sangat mendalam untuk cuba memahami kewujudan dunia ini dari perspektif sains.

Keupayaan dia berfikir begini jauh, menyukarkan saya memahami keadaan manusia yang jauh lebih sempurna dari segi fizikalnya namun kekurangan dari segi pemikirannya. Bidang sains bukanlah bidang saya, tetapi sekiranya saya ingin mengesyorkan buku sains inilah buku yang harus dibaca oleh setiap orang.

Sunday, July 27, 2008

101 Copycat Marketing, Tiru Kejayaan

Buku pertama saya baca bila mula berkecimpung dengan perniagaan kecilan. Walaupun buku ini telah lama diterbitkan, saya fikir ia sangat sesuai untuk sesiapa yang mula menjinakkan diri dengan perniagaan.



Apa yang diketengahkan adalah proses perniagaan boleh disalin atau ditiru untuk berjaya. Contoh yang paling ketara adalah perniagaan berkonsepkan francais, dimana susun atur kedai, proses jualan dan sebagainya adalah sama dimana-mana sahaja, jika konsep kedai serupa digunakan.

Saya mungkin bukan orang yang pertama mengatakan perkara ini, tetapi dimana-mana sahaja saya pergi dipelusuk dunia ini, saya pasti yang hidangan Filet O Fish mempunyai rasa yang sama, dibeli dikedai kuning yang sama dan konsep jualan juga tidak diubah.

Jika kita kembangkan ini di era teknologi internet, mungkin kita boleh mengolah satu kaedah perniagaan yang baik dan menarik lebih ramai orang menggunakan cara terbaik itu untuk berjaya. Bukan sahaja di Malaysia, tarikannya sudah pasti seluruh dunia.

Membantu orang lain berjaya, adalah satu cara yang baik untuk mencapai kejayaan kita.

Saturday, July 19, 2008

Oxford Murders, Matematik Pembunuhan

Saya bukanlah peminat cerita rekaan, namun peluang untuk membaca buku yang melihat satu misteri pembunuhan menggunakan matematik menarik perhatian saya. Minat saya terhadap matematik bukan baru, kerana saya suka melihat falsafah yang ada disebalik nombor dan pengiraan.



Cuba anda fikirkan, apakah nombor seterusnya dari turutan berikut 2, 4, 8, 16 ... ? Persoalan ini boleh dijawab dengan mudah oleh pelajar sekolah rendah/bawah. Itu juga mungkin yang kita fikirkan, kerana itulah jawapan yang paling mudah diandaikan dari turutan tersebut. Tetapikah tahukah anda nombor 31 juga adalah jawapan yang tepat? (Wittgenstein's Finite Rule Paradox

Hasil yang tidak dijangka, dari bukti yang ada, digunakan oleh pembunuh bersiri didalam cerita The Oxford Murders. Cerita bermula dengan pembunuhan Puan Eagleton, tuanrumah seorang penuntut matematik dari Amerika. Pembunuh meninggal simbol matematik selepas setiap pembunuhan dilakukan.

Penuntut muda tersebut, bersama seorang pakar logik dari Oxford cuba merungkai bukti matematik yang ditinggalkan disetiap pembunuhan dan meneka langkah seterus pembunuh dan mungkin menangkapnya sebelum pembunuhan lain dilakukan.

Masalah yang mereka hadapi, seperti juga persoalan yang diajukan tentang siri nombor diatas, ada kemungkinan jawapan lain yang tidak dijangka juga betul.

Dibawah adalah bukti kenapa 31 juga jawapan betul:
Draw three dots on a circle and join the dots with lines. The circle gets divided into four pieces. If you now take four dots on the circle and draw all the lines between the dots then you cut the circle into eight pieces. Five dots leads to 16 pieces. But if you draw all the lines between six dots you will only get 31 pieces rather than the 32 you'd expect. Mathematics, like the best crime thrillers, is full of surprises. (petikan review dari the Guardian UK)


Kata orang, jenayah terbaik bukannya jenayah yang tidak terjawab, tetapi jenayah terbaik adalah jenayah yang terjawab dengan jawapan yang salah.

Menarik untuk dibaca.

Monday, July 14, 2008

Publish and Share Your Blog, GRATIS

Hantar alamat (URL) blog ke B3Lima, dan dapatkan siaran blog percuma di website peribadi anda. Singgah di B3Lima untuk daftar dan langgan

Thursday, July 10, 2008

Saturday, July 5, 2008

Small Giants, Jutawan Kecil

Tajuk buku ini menarik perhatian saya. Jutawan Kecil, satu ungkapan pernah saya dengar, mungkin menyampaikan maksud agak sama dengan tajuk buku ini. Walaupun buku ini menumpukan perhatian di Amerika Syarikat, saya fikir banyak perniagaan kecilan di Malaysia sudah layak untuk dikategorikan sebagai Jutawan Kecil.



Penulis buku cuba mengenal pasti ciri-ciri unik perniagaan kecilan ini. Boleh kita pelajari dan praktikan mana yang sesuai dengan budaya dan kepercayaan masyarakat disini.

Antara ciri-ciri tersebut adalah – kebolehan membuat pilihan sendiri, gaya pengurusan bersesuaian dengan pernigaan kecilan, keunikan barangan atau servis yang diketengahkan, keakraban dengan masyarakat sekeliling, budaya kerja yang menggalakkan penglibatan semua, taburan pegangan pelaburan dan menjadikan perniagaan satu kehidupan yang memberi kesan positif kepada semua yang terlibat.

Secara ringkasnya, perniagaan yang dikaji didalam buku ini adalah perniagaan yang bergerak untuk mencapai tujuan tertentu, tidak terikat dengan sistem pengurusan dan perancangan konvensional seperti syarikat besar, namun masih menguntungkan dan memberikan faedah kepada masyarakat sekeliling.

Harus dibaca.

Saturday, June 28, 2008

Made to Stick, Kembangkan Pengaruh Anda

Penulis menyatakan. “Ide yang baik selalunya amat sukar untuk kekal diingat. Tetapi, cerita aneh mengenai pencuri ginjal biasa didengar, tanpa sebarang bantuan modal untuk disebarkan"



Kisah pencuri ginjal? Penulis, Chip dan Dan Heath, pasangan abang dan adik dari California ini, menceritakan kisah seorang lelaki yang minum di sebuah Bar disebuah bandar baru disinggahi. Perkara terakhir yang dia ingat ialah bila didatangi seorang wanita cantik yang bertanya samada dia ingin minum lagi. Bila dia tersedar, dia berada didalam mangkukmandi dipenuhi ais. Ada luka dibelakangnya, dan getah terjulur keluar dari luka tersebut. Dia diberitahu, selepas mendapatkan pertolongan, bahawa ginjalnya telah dicuri.

Kemudian, penulis memberikan kita satu contoh ayat yang sukar diingat. “Pembangunan komuniti secara menyeluruh, dengan sendirinya akan membantu penilaian pulangan pelaburan, dan boleh dibuat model kiraan…..”. Cuba anda tutup mata dan beritahu rakan anda mengenai cerita pencuri ginjal atau ayat pendek di atas. Kita sudah tentu ingat mengenai cerita pencuri ginjal, tapi bukan ayat pendek tersebut.

Buku ini membantu anda untuk memudahkan ide yang berat. Perumpamaannya seperti buku panduan diet untuk menguruskan badan. Dan, seorang penerbit buku pendidikan, mengkaji bagaimana pendidik dapat mendidik secara berkesan. Chip, seorang profesor sains social di Stanford, menghabiskan masa mengkaji satu konsep ”Bagaimana ide buruk boleh menggantikan ide yang baik?”. Kedua mereka kagum dengan konsep kelekatan (stickiness), yang diterangkan oleh Malcolm Gladwell didalam bukunya The Tipping Point – sesetengah ide melekat diminda, yang lainnya tidak. ”Kami ingin memberi penghormatan kepada Malcolm untuk perkataan kelekatan (stikiness). Perketaan tersebut memang ’melekat’”, kata mereka.

Banyak contoh digunakan didalam buku bagaimana ide boleh diketengahkan dan boleh melekat diminda penerima. Ciri-ciri utama ide yang melekat adalah mudah, tidak dijangka, berasas, dipercayai, beremosi dan betuk penceritaan.

Ianya membuka mata kita bagaimana ide buruk boleh menggugat, walaupun tidak betul. Dan bagaimana semua orang cuba menjual ide mereka, ide buruk mahupun ide baik. Sama seperti perlumbaan senjata perang, hanya organisasi besar berkemampuan mengambil pakar tertentu untuk menghasilkan maklumat yang jelas dan mudah diingat, sehinggakan ide yang salah, mampu diterima sebagai betul.

Sudah tentu ide juga boleh membawa kebaikan jika dihasilkan dengan niat yang betul.

Saturday, June 21, 2008

The Leadership Pipeline

Buku ini menyentuh mengenai kemahiran dan nilaipegangan kepimpinan. Ada perbezaan antara kedua-dua ciri kepimpinan tersebut. Ciri-ciri kepimpinan yang dikehendaki berubah pada kedudukan yang berbeza didalam satu organisasi. Sesorang itu juga perlu merubah perlakuan bila bergerak dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi didalam hairaki kepimpinan.



Buku in berdasarkan pengalaman ianya mula-mula dilaksanakan di General Electric. Syarikat tersebut ingin memastikan sedia ada jumlah pemimpin dalam syarikat yang cukup untuk menerajui organisasi tersebut secara berterusan dipelbagai tahap kepimpinan.

Philosofi utama buku ini adalah kepimpinan boleh diajar dan dikembangkan, dengan syarat ada perubahan kelakuan bila bergerak dari satu tahap ke tahap kepimpinan yang lebih tinggi. Selalunya seseorang itu dinaikkan pangkat kerana dia mampu melaksanakan tugas yang diberi. Ini adalah satu kesilapan. Seharusnya seseorang itu dinaikkan pangkat kerana dia mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk menjadi seseorang pemimpin.

Buku ini menerangkan 6 peralihan kepimpinan yang utama.
1) Peralihan menjadi pengurus dan menguruskan orang lain
2) Peralihan menjadi pengurus besar dan memimpin pengurus-pengurus
3) Peralihan menjadi pengurus kawasan dan bekerjasama dengan operasi yang lain
4) Peralihan menjadi pengurus besar kawasan dan memimpin pengurus-pengurus kawasan
5) Peralihan menjadi pengurus satu organisasi dan menentukan halatuju organisasi kecil
6) Peralihan menjadi pengurus besar organisasi dan menentukan halatuju organisasi besar

Untuk setiapa tahap kepimpinan, buku ini menerangkan secara terperinci kemahiran dan nilaipegangan yang perlu ada untuk tahap tersebut. Kemahiran dan nilaipegangan ini berbeza untuk setiap tahap kepimpinan berlainan, dan perlu dipelajari oleh seseorang yang bergerak dalam jaluran kepimpinan. Buku ini juga menerangkan bagaimana menentukan seseorang itu ada ciri-ciri yang diperlukan untuk menjadi seorang pemimpin dan bagaimana untuk memberikan pemimpin baru persediaan untuk tahap kepimpinan yang lebih tinggi.

Buku ini menjelaskan bahawa dasar peralihan kepimpinan (succession planning) sesuatu organisasi boleh diibaratkan seperti satu jaluran paip. Jaluran paip ini akan tersumbat sekiranya pemimpin yang dipilih gagal melepasi peralihan kepimpinan, dan ini akan mengakibatkan ramai pemimpin yang berpotensi dibawah pemimpin tersebut meninggalkan organisasi.

Buku ini amat baik untuk setiap orang yang bercita-cita untuk menjadi pemimpin didalam sesebuah syarikat. Buku ini juga boleh digunakan untuk menilai kepimpinan baru untuk dipilih menerajui sesebuah organisasi.

Saturday, June 14, 2008

Menjejaki Enid

Satu biografi Enid Blyton, tetapi agak unik – kerana ini bukan sahaja biografi Blyton tetapi juga biografi penulis. McLaren, peminat seumurhidup Blyton, keluar bersiar bersama teman wanitanya, melawat tempat-tempat dimana Blyton tinggal, bekerja dan menulis bukunya – termasuk, sudah tentu, rumah Green Hedges dimana dia tinggal bersama suami keduanya dan menulis hampir kesemua 600 buku-buku popularnya, termasuk siri ’The Famous Five’, siri ’The Malory Towers’ dan buku ’The Noddy’. Setiap bahagian buku berakhir dengan parodi misteri Five Find-Outers, dengan Fatty digambarkan sebagai McLaren, dan sikecil Bets sebagai teman wanitanya, Kate.



Teori McLaren, bahawa PC Goon yang dicemuh dalam cerita Five Find-Outers adalah satu gambaran dendam terhadap suami pertama Blyton cukup meyakinkan, walaupun cubaan untuk membuktikannya melalui anagrams terlalu sukar dipercayai. Buku ini kadang-kadang keanak-anakan ceritanya: “it’s ramificating like billy-oh in my mind!” atau “Letters from Enid – I want to bloody well read a few!”. Tetapi McLaren sudah berjaya menyampaikan kesungguhannya. Sekiranya anda meminati buku-buku Enid Blyton atau perangai pelik orang Inggeris, anda pasti meminati buku ini.

Sebaliknya sudah tentu tidak.

Monday, June 9, 2008

The Long Tail

Sekiranya kita mempelajari statistik, kita sudah tentu mengenali Lengkok Lonceng (Bell Curve) yang menghasilkan taburan normal (Normal Distribution) pada sesuatu perkara yang ingin dikaji. Ada satu lagi taburan yang dipanggil taburan Pareto yang kelihatan meninggi didepan dan lengkongan mendatar dibelakang, kelihatan seperti ekor binatang. Lengkongan panjang ini diungkapkan sebagai ’ekor panjang’ (Long Tail) oleh penulis buku yang berpengaruh ini.



Dari segi pemasaran, ’ekor panjang’ adalah sempena berjuta-juta pelanggan kecilan yang membeli hasilan kreatif yang kurang laris, namun secara kolektif memainkan peranan penting didalam perniagaan hasil kreatif.

Promosi ‘niche’ memang sesuatu yang biasa didalam perniagaan hasil kreatif, tetapi bila Anderson, editor majalah Wired dari California, mengajukan satu ungkapan baru untuk menerangkan pembelian dan penjualan buku dan lagu kurang laris, dia berhasil memberi makna baru pada konsep sedia ada, dan juga beberapa teori berguna yang mendokong pasaran jualan internet. Pergisiran antara Microsoft dan Google membuatkan kajian beliau menjadi sebutan lebih ramai orang.

Analisa Anderson terhadap pasaran massa juga tepat pada masanya. Dengan kemunculan abad baru, filem, buku, program televisyen dan pengedaran musik terpaksa menerima kenyataan bahawa era ‘blockbuster’ telah tamat. Secara kesuluruhan, jualan terlaris menjunam sehingga 25 peratus, menggugat perniagaan kedai buku dan lagu secara tradisi.

Lebih dari itu, Anderson adalah orang pertama mengenali kepentingan ruangan rakbuku tidak terhad yang ada diinternet. Bertajuk ’how endless choice is creating unlimited demand’, ini mungkin satu pendapat optimistik tentang pasaran umum.

Tidak sehingga penerbitan buku The Tipping Point oleh Malcolm Gladwell, ungkapan yang sering digunakan sekarang, ianya menghasilkan imaginasi ramai penggiat hasil kreatif. Terutamanya dikalangan mereka yang melihat kedai buku terpencil, umpamanya, sebagai pintu ke dunia baru dimana permintaan hasil kreatif akan terbuka luas. Anderson dilihat sebagai suara kebenaran dan penyelamat kepada peminat hasil kreatif minoriti.

Tidak sepadat buku Gladwell, dan ditujukan pada dunia buku bisnes, disulam dengan analisa ekonomi, teknologi dan psikologi budaya-pop, buku Anderson ini sesaui untuk dibaca dalam penerbangan yang jauh dan mungkin boleh menjadi bahan bualan di persidangan pemasaran untuk bertahun-tahun lamanya.

Sunday, June 1, 2008

Bolasepak Bayangan Berita Dunia

Tulisan ini adalah sebahagian terjemahan dari ulasan yang panjang di Independent. Sila lawati Join My Community at MyBloglog! untuk membaca teks penuh.



Kenangan kisah buli dizaman persekolahan kembali difikiran bila saya membaca buku kesukanan pertama saya, buku terlaris di Amerika - How Soccer Explains the World tulisan Franklin Foer. Buku ini mengukuhkan kepercayaan saya: bolasepak dan keganasan berhubungkait antara punca dan akibat – bukan bermaksud bolasepak mengelakkan keganasan – tetapi kedua-duanya membawa maksud yang sama.

Carian Foer kedasar cerita tamat dengan lawatan ke Red Star, kelab utama Belgrade, pasukan yang dilatih oleh Arkan, penjenayah perang utama Serbia, dimana dia telah membawa pasukannya yang bersenjata lengkap ke Lembah Drina dalam tahun 1992 untuk membunuh, merompak dan memperkosa. Arkan memandu kereta Cadillac pink dan mempunyai isteri yang meminati bola – Ceca, penyanyi retro yang menawan – yang dia kahwini dengan memakai pakaian seragam lengkap Serb. Perlawanan antara Red Star, sebelum perang meletus, melawan kelab Croatian Partizan – yang menyanjung presiden fascist Franjo Tudjman pemberi simbol Ustashe kepada pasukan yang pernah diketuainya itu – berakhir dengan pergaduhan dipadang.

Namun, saya tahu tidak semuanya melibatkan keganasan. Saya masih ingat semasa terbang ke Tehran bersama pasukan bolasepak Iran dalam tahun 1997 selepas mereka mengalahkan Australia di pusingan kelayakan Piala Dunia dan kegembiraan rakyat menyambut ketibaan mereka – sambutan puluhan ribu wanita Iran yang merempuh masuk stadium Azadi, pembaharuan politik yang disokong pemain dan ditambah dengan kelemahan presiden Mohamad Khatami – adalah intipati apa yang dipanggil oleh Franklin Foer sebagai revolusi bolasepak di Timur Tengah.

Mungkin.

Teks penuh di The Independant

Saturday, May 24, 2008

Paradigma Baru Pasaran Kewangan

George Soros, hartawan saham dan dermawan, mendakwa bahawa pakar ekonomi pasaran bebas – atau penyokong fanatik pasaran bebas – seperti Greenspan, bertanggungjawab menghasilkan krisis ini. Dalam buku The New Paradigm for Financial Markets, Soros mencadangkan model ekonomi lain. Asas ekonomi sekarang percaya bahawa pasaran bebas mengandungi pelabur yang rational dan berpengetahuan penuh, dan kesannya pasaran akan bergerak kearah keseimbangan. Soros, bagaimanapun, menegaskan yang manusia tidak berkebolehan untuk mendapatkan maklumat yang lengkap. Di pasaran, ujarnya, orang mempunyai pendirian sendiri dan membuat pelakuan berdasarkan pendirian tersebut. Tetapi kelakuan mereka turut mengubah keadaan yang mereka perhatikan sebelum itu. Soros menamakan teori ini reflexivity (dia mula mengenengahkan ungkapan ini dalam buku nya The Alchemy of Finance dalam tahun 1987



Pakar ekonomi seperti tidak mahu memahami apa yang Soros katakan. Walaubagaimanapun, asas pengamatannya amat mudah difahami. Pinjaman morgaj diberi kerana bank percaya rumah adalah cagaran yang baik. Namun kemudahan pinjaman yang banyak telah melonjakkan harga rumah. Harga rumah yang meningkat menambahkan lagi nilai cagaran, membuatkan bank lebih rasa selamat. Kontraktor bertindak dengan menambah lagi pembinaan rumah baru. Harga rumah, pembinaan rumah baru, dan kemudahan baru kredit melonjak naik. Permulaan setiap kegawatan adalah ide yang bagus yang kemudiannya diputarbelitkan. Kenyataan bahawa harga rumah di America secara asasnya stabil adalah salah satu ide karut tersebut.

Soros percaya bahawa krisis ini memperlihatkan batasan idologi pasaran bebas yang berkembang pesat bermula dari awal tahun 1980 han. Pakar ekonomi generasi baru perlu memahami kegawatan kewangan dan bukan tidak mengendahkannya, seperti yang dilakukan oleh Greenspan dan rakan sejawatnya di Bank Pusat. Adalah lebih baik sekiranya mereka menasihatinya supaya mengakaji teori relexivity ini.

Teks asal di Timesonline

Technorati Profile
Undergoing MyBlogLog Verification

Keruntuhan Trillion Dollar

Selama beberapa tahun, hutang meningkat lebih tinggi daripada pendapatan disetiap penjuru dunia penutur Bahasa Inggeris. Perancang ekonomi mendakwa tiada apa yang perlu dirisaukan. Walaupun hutang banyak, namun kerana kerangka sistem kewangan adalah lebih teguh dan mampu menampung sedikit kegawatan. Namun musim panas lepas, kecermalangan kredit mula runtuh. Bagaimana ia boleh terjadi and apa maksudnya adalah subjek dua buah buku terbitan baru.



Buku The Trillion Dollar Meltdown oleh Charles Morris mempunyai banyak kualiti selain gaya penulisan ringkas. Dengan kurang dari 200 muka surat, Morris menggunakan bahasa yang mudah dan memberi maklumat lengkap mengenai pasaran kewangan yang sangat komplek yang telah membawa kemusnahan sistem kredit. Ianya cerita menakjubkan. Dalam masa 10 tahun hingga awal tahun 2007, rakyat Amerika meminjam sehingga $9 trillion (USD) untuk membeli rumah mereka. Peningkatan mendadak hutang menyumbang kepada kemewahan ekonomi Anglo-Saxon yang dikecapi selama satu dekad yang lalu.

Sebenarnya kemudahan kredit melambak disebabkan pemberi hutang tidak menjalankan tugas tradisi mereka. Bank menemui cara untuk memberi pakej hutang, diinsurankan dan dijual hutang tersebut. Hasilnya, sistem kredit menjadi permainan kentang rebus panas. Sehingga musim panas lepas, bila lagu permainan terhenti, Bear Stearns, sebuah bank di Wall Street yang begitu aggresif memberi hutang morgaj, ditinggalkan memegang kentang rebus panas itu. Sehingga Februari, dengan kemungkinan Bear bank bankrap, menjadikan kewangan dunia tersentak dan Federal Reserve terpaksa memberikan jaminan kewangan berbillion dollar.

Krisis kewangan ini bukan sahaja mengenai mogaj tinggi yang diberi kepada pembeli rumah di Amerika yang tidak berkelayakan, hutang subprima adalah simbol tepat yang melambangkan kesilapan yang berlaku. Pemberi hutang selalunya memikirkan dua perkara penting dikepala mereka: pembayaran hutang pokok dan menerima cukup faedah untuk membayar kerugian yang dijangka. Tetapi ini bukan kesnya untuk hutang subprima. Secara faktanya bahawa hutang subprima tidak ada prospek untuk dibayar tidak merisaukan sesiapa. Semua pemain dalam sistem kredit (penilai rumah, broker morgaj, bank yang memberi hutang, firma Wall Street yang membeli longgokan morgaj dan dijual kemabli, agensi penilai yang memberi kesahihan sekuriti dengan gred laburan mereka, dan juga “hedge fund” yang merebut setiap hutang yang paling berisiko) hanya bimbang mengenai bayarankhidmat yang diterima. Ini menggalakkan pemberian hutang yang tidak selamat dan memakan diri.

Morris menunjukkan bahawa sistem kredit baru menggalakkan pemberian hutang berisiko tinggi kerana ianya memberikan bayarankhidmat tinggi dan memberikan lebih ruang untuk diolah oleh pemain pasaran. Apabila pasaran rumah Amerika jatuh, pemberi hutang menjual hutang tersebut – subprima dunia korporat. Eksekutif bank pintar juga menemui cara untuk mengeluarkan sekuriti hutang tanpa ada pemiutang sah. Sekuriti hantu, yang meniru hutang asal, dihasilkan dari kontrak insuran hutang. Kemudahan kredit menjadi tiada batasan (infinit), terpisah jauh dari tugas tradisi sebagai pengagih kapital yang terhad. Laba kewangan dan bonus bank melonjak.

Alan Greenspan, pengerusi Federal Reserve, berulangkali memuji inovasi kewangan seperti itu. Dia berkata risiko akan lebih difahami dan diagihkan dengan lebih baik, dan menyanjung satu paradigma baru dalam pengurusan aktif risiko kredit. Pandangan Panglossian beliau – pasaran boleh dibiarkan mengatur diri sendiri – membutakan beliau keatas aktiviti yang semakin dicurigai didalam pasaran kredit.

Teks asal dari Timesonline (UK)

Sambungan ulasan untuk buku kedua akan datang.

Wednesday, May 21, 2008

Siasatan Pembunuhan Tak Berasas

Adakah Sherlock Holmes silap besar dalam kesnya yang mashyur? Adakah Hercule Poirot seorang pembunuh? Adakah pembunuh bersiri terkenal Hamlet juga membunuh bapanya? Adakah Oedipus, terkenal kerana membunuh bapanya, tidak membunuh bapanya?

Pengkritik literari Perancis dan psikoanalis, Pierre Bayard, cuba mengolah genre baru dalam dunia literari. Dia memanggil dirinya seorang detektif pengkritik. Dia menyiasat semula plot-plot dalam buku terkenal, sambil membetulkan semula kesalahan penulisnya dan ketidakadilan literari.



Semua penulis tidak boleh dipercayai, Bayard berkata. Penulis tidak semestinya memahami sepenuhnya cerita yang ditulis sendiri.

Bayard, 54, yang mendapat kejayaan di AS dengan buku yang bertajuk, How To Talk About Books You Haven’t Read, baru sahaja menerbitkan buku tersebut di UK dengan ulasan-ulasan menyanjung. Buku-bukunya yang kurang diketahui umum, dikalangan penutur bahasa Inggeris, adalah siri buku-buku menerangkan bagaimana penulis terkenal, dari Shakespeare hingga Agatha Christie, menulis cerita menggunakan fakta yang tidak benar.

Buku terbarunya, diterbitkan di Perancis, mengkaji semula fakta-fakta jenayah dalam buku The Hound of the Baskervilles oleh Sir Author Conan Doyle. Bayard membuktikan (berdasarkan kepercayaannya) yang anjing pemburu dan tuanya tidak bersalah dalam cerita itu.

Tahniah kepada detektif terkenal dunia yang kurang cekap, pembunuh sebenar masih diluar sana. Tanpa memberikan jawapan sebenar, kes di Dartmoor adalah sebenarnya jenayah balas dendam yang bijak.

Ketidakcekapan Holmes, yang dibuktikan dengan jelas dalam buku tersebut, juga kelakuan balasdendam yang tidak disedari, Bayard mencadang. Conan Doyle mula membenci penyiasat tersebut dan cuba membunuh karaktor itu. Tetapi Holmes tidak mahu mati. Penulis dan penyiasat bertarung sesama sendiri untuk terus hidup, sehingga mereka terlepas pembunuh sebenar.

L’Affaire Du Chien Des Baskervilles (Miniut) melengkapkan siri “English Trilogy” yang dimulakan oleh Bayard pada 1998. Buku pertamanya membuka semula kes awal Hercules Poirot, The Murder of Roger Ackroyd. Dia secara bernas membuktikan yang fakta kes telah dikumpulkan secara tidak berasas keatas doktor kampung yang baik, sipencerita dan sipembunuh dalam kisah itu. Christie dan Poirot telah membuat tuduhan palsu keatas orang yang tidak bersalah.

Bayard, pengamal psikoanalis, profesor literari, dan penulis, kemudian menumpukan perhatian pada Shakespeare. Tulisannya Enqulte sur Hamlet cuba membela Uncle Claudius dan mencadangkan, tetapi kurang meyakinkan, yang Hamlet sebenarnya pembunuh bapa sendiri.

”Pendapat asas saya ialah penulisan literari bukannya statik. Semuanya tidak stabil” Bayard beritahu saya. “Saya juga berpendapat, kewujudan cerita yang tidak lengkap, tanda keagungan penulis. Penulisan adalah sebahagiannya tulisan secara sedar, dan sebahagiannya lagi adalah keadaan dimana penulis hilang kawalan atas ciptaan sendiri”

Karya Bayard seterusnya mungkin cuba membetulkan ketidakadilan yang berlaku 2400 tahun lalu. Dia percaya, walauapapun penerangan Sophocles, Oedipus tidak membunuh bapanya. Dia mempunyai ide tersendiri siapa identiti sebenar pembunuh.

Teks asal di The Independent (UK)

Saturday, May 17, 2008

The First 90 Days, Tempoh Pimpinan

Tajuk Buku: The First 90 Days
Penulis Buku: Michael Watkins

Sekiranya anda seorang pemimpin baru, pengurus baru, peniaga baru atau diberikan bidang baru untuk ditadbir, inilah buku yang amat sesuai untuk dijadikan bahan rujukan. 90 hari pertama dalam suasana baru menentukan samada kita akan berjaya sebagai pemimpin atau pentadbir.



Apa yang perlu dirangka untuk dicapai dalam masa 90 hari tersebut dan bagaiman ingin kita capai matlamat yang dirangka tersebut. Saya menggunakan buku ini semasa berpindah ke syarikat baru dan melangkah setapak lagi sebagai pengurus kos. Dengan adanya panduan yang dijelaskan secara mudah didalam buku ini, boleh terus saya membuat pelan awal dan menentukan objektif yang perlu saya penuhi dalam masa 90 hari pertama.

Ianya juga membantu saya menyesuaikan diri dengan budaya syarikat dan rakan sekerja baru.